Wednesday, August 10

Lupuskanlah duka semalam


Manusia itu diciptakan bersama segumpal emosi. Kerana itu setiap manusia di dalam dunia ini akan merasai rasa duka, perit, derita, sengsara, suka, gembira dan pelbagai rasa lainnya. Adakala suatu saat dia akan jatuh tersungkur dan tersembam wajah atas hamparan tanah. Dan ada ketika dia melonjak girang tanda gembira.



Bila berduka, manusia pasti akan mengingat pada masa-masa yang berlalu. Lalu jiwanya akan diselubungi gundah-gulana yang menghenyak saraf rasa. Dia akan menyesali perbuatan semalam. Dia akan kecewa pada masa-masa silam.

Saat itu mungkin berlaku tindakan luar kawalan jika tanpa pedoman. Bahkan, ada yang menyalahkan Tuhan kerana setitis penyesalan. Nauzubillahhi minzalik.



Walhal, semakin jauh dia dengan Tuhan, semakin meracau-racau jiwanya mengharapkan ketenangan. Allah SWT hadirkan ujian bukan untuk diratapi, tetapi untuk menguji kekentalan iman. Kekentalan iman itu bukanlah sia-sia, kerana setiap cubaan itu mengandungi hikmah dan hikmah itu pula bersamanya keredhaan dan ganjaran.



Ayuh, jangan ditenung pada kesalahan semalam, jangan dibiarkan masa silam memadamkan harapan untuk menggenggam kejayaan. Kejayaan itu tangganya adalah ujian, dan setiap tangga itu ada hikmah tidak terjangkakan.



HARI INI DAN SEMALAM



Apabila fajar bersinar menyimbah bumi di waktu pagi, saat itu hari telah bertukar ganti. Pagi itu bukan lagi pagi semalam. Dan kegagalan semalam, bukan lagi kegagalan hari ini kecuali manusia itu mengulanginya.



Cukuplah sekadar menjadikan hari semalam sebagai batu loncatan agar ukiran sejarah itu tidak berulang. Jadikanlah batu loncatan itu sebagai frasa-frasa menggenggam impian. Sesukar mana perjalanan itu, pasti akan ada setitis air pelepas dahaga, dan gerombolan awan-gemawan yang berambal tenang di kepala. Bukankah itu juga rezeki Allah Ta’ala? Lalu mengapa harus menjauh dari-Nya?



“Maka berpegang teguhlah dengan apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang yang bersyukur.” (Al-A’raf: 144)



Bersyukur, bersyukurlah dengan setitis air dan awan-gemawan yang meneduhkan kepalamu daripada bahang mentari pijar!



Andaikan kita selalu meratap masa-masa lalu dengan kekecewaan, sudah tentu kesedihan akan menyiat-nyiat nubari berpanjangan. Segala gerak kerja hari ini dan akan datang menjadi seperti buih di lautan. Dihempas ke pantai, berterabur hilang dari pandangan.



Lalu, mahukan angan-angan kejayaan menjadi seperti buih-buih putih di lautan?



Atau mahukah tertindan pada puing-puing yang berjatuhan, sedangkan mahligai indah menanti di hadapan?



Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh mengagumkan urusan seorang muslim, semua urusannya adalah baik, jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, dan ini lebih baik baginya, dan bila mendapat musibah, ia sabar dan ini lebih baik baginya.” (HR. Bukhari)



Ingat, jam itu senantiasa berdetik ke hadapan, mustahil ia memutarkan jarumnya ke belakang!

No comments:

Post a Comment